Ekoran ketegangan yang terpaksa dihadapi dalam misi pencarian Malaysia Airlines MH370, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meluahkan kekecewaan terhadap agensi-agensi antarabangsa dan pengilang Boeing 777-200ER apabila gagal menjelaskan misteri kehilangan pesawat itu.

Pemangku menteri pengangkutan itu berkata dalam satu temubual dengan stesen television China, CCTV, kritikan tidak adil dilontarkan kepada MAS mengenai cara berkomunikasi dengan ahli keluarga penumpang dan anak kapal.

"MAS sentiasa akan melakukan tugas terbaik dalam berinteraksi bersama keluarga.

"Namun meletakkan MAS di kandang saksi masih tidak mencukupi, kita juga perlu sentiasa ingat apakah peranan dan tanggungjawab Rolls-Royce, Boeing dan semua agensi pakar. Apakah pandangan mereka?" katanya dalam temubual bersama CCTV semalam.

Petikan temuramah itu dimuat naik melalui akaun YouTube kepunyaan CCTV.

Pada 8 Mac, pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal ke Beijing terputus hubungan dengan pengawal trafik udara sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pencarian pesawat itu masuk hari ke-23.

Hishammuddin juga turut mempersoalkan tindakan syarikat penerbangan itu menghantar kiriman pesanan ringkas (SMS) dalam bahasa Inggeris minggu lalu menyatakan tiada penumpang yang terselamat.

"Amat senang untuk kita menyalahkan orang. Saya tidak mempertahankan MAS. Mereka perlu menjawab mengenai SMS itu dan bagaimana mereka berhubung dengan ahli keluarga.

"Tapi pada masa sama, saya mahu melihat agensi antarabangsa turut tampil, kerana kita membayar jutaan ringgit membeli kapal terbang dan kepakaran mereka. Kini teknologi tersebut dipersoalkan seluruh dunia," katanya.

Boeing dan Rolls-Royce – syarikat yang membekalkan enjin bagi pesawat itu – dilihat tidak membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai kehilangan MH370 itu biarpun difahamkan kedua-dua agensi itu bekerjasama dengan siasatan keselamatan udara Amerika Syarikat.

Minggu lepas, Wall Street Journal melaporkan pihak Amerika Syarikat berkata Boeing menyatakan kekesalan apabila kerajaan Malaysia mengambil masa tiga jam untuk melaporkan kepada wakil syarikat mengenai kehilangan pesawat itu. Tempoh tersebut jauh lebih panjang daripada biasa.

Pasukan Boeing dikatakan “agak kecewa dan tidak mempercayai proses”, menurut seseorang yang biasa dengan pandangan syarikat itu.

Hishammuddin juga berkata Malaysia masih mencari motif jenayah yang mungkin berkaitan dengan kehilangan pesawat seperti pengganas, rampasan oleh anak kapal atau masalah psikologi.

Beliau berkata dalam kenyataan hari ini bahawa pasukan siasatan antarabangsa dan Malaysia masih berpegang pada perjanjian bahawa pergerakan MH370 konsisten dengan tindakan yang disengajakan oleh seseorang dalam pesawat.

"Sehingga saat pesawat itu hilang dari radar tentera, pergerakan MH370 adalah konsisten dengan tindakan yang disengajakan oleh seseorang dalam kapal terbang itu," katanya.

Sumber T-M-I

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi (gambar) pada Ahad menafikan menerima laporan daripada keluarga Indonesia yang mendakwa mereka telah menerima beberapa panggilan tidak dijawab (missed call) daripada Firman Candra Siregar yang merupakan salah seorang penumpang penerbangan MH370.

Beliau menjawab laporan portal berita Indonesia dalam talian yang memetik adik mangsa, January Siregar sebagai berkata bahawa beliau mendapat ‘panggilan tidak dijawab’ itu pada 11 dan 13 Mac daripada adiknya melalui Skype di iPad selepas pesawat hilang pada 8 Mac.

Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak mendengar mengenai perkara itu daripada pihak berkuasa Indonesia.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai semua yang mereka baca di portal berita kerana maklumat yang disiarkan kadang-kadang tidak disahkan, belum disahkan dan boleh mengelirukan.

“Semua perkembangan terkini dan maklumat mengenai MH370 dihantar kepada ahli-ahli keluarga mangsa dan juga melalui taklimat harian oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen senyuman di pasar tani Parit Raja, di sini, Ahad.

Portal dalam talian itu juga melaporkan bahawa January menunggu jawapan daripada kerajaan Malaysia dan MAS mengenai laporan beliau kepada pihak berkuasa mengenai perkara itu.

Sumber T-M-I
 Pencarian MH370 yang hilang secara misteri sejak 8 Mac lalu mungkin tidak akan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang terdekat ini.

Malah, pakar dari Amerika Syarikat menjangkakan ia mungkin memakan masa bertahun-tahun sebelum sebarang penemuan dan penyelesaian terhadap misteri itu dirungkai.

Halangan terbesar adalah kerana tidak ada sesiapa pun yang tahu secara tepat laluan yang digunakan MH370 ketika ia hilang dan dipercayai terhempas.

Kapten Mark Matthews dari angkatan tentera laut negara itu berkata, “Pada masa ini secara umum kawasan pencarian adalah seluruh Lautan Hindi yang akan memakan masa yang sangat lama untuk pencarian sepenuhnya dilakukan.

“Jika anda membandingkan dengan penerbangan 447 Air France, sekurang-kurangnya ketika itu kita ada maklumat yang lebih baik mengenai di mana kapal berkenaan mungkin terhempas,” katanya.

Beliau merujuk kepada kejadian yang berlaku di perairan berhampiran Brazil yang memakan masa dua tahun untuk kotak hitam kapal tersebut ditemui.

Pada ketika ini, Malaysia dan Australia telah mengumumkan akan terus mencari MH370 dan tidak menetapkan sebarang garis masa atau waktu untuk berbuat demikian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia komited sepenuhnya terhadap operasi menjejaki Penerbangan MH370 MAS dan tidak akan menghentikan pencarian sehingga pesawat itu ditemui.

Ketika operasi mencari memasuki minggu ketiga, Perdana Menteri berkata ingatan dan doa beliau sentiasa bersama keluarga penumpang dan anak kapal pesawat jenis Boeing 777-200ER itu, yang hilang pada 8 Mac.

“Ketika masuk minggu ketiga pencarian MH370, kami memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia komited sepenuhnya terhadap operasi pencarian dan tidak akan menghentikan operasi sehingga pesawat dijumpai,” kata beliau di akaun Facebook miliknya.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China, dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Misi pencarian membabitkan pelbagai negara digerak bagi menjejaki pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkemistan ke utara Thailand dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Susulan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini, satelit Inmarsat milik syarikat telekomunikasi United Kingdom dan AAIB merumuskan Penerbangan MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi ke barat Perth, Australia.

Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat itu hilang bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”.

Kawasan pencarian bagi pesawat MH370 kini ditumpukan ke satu kawasan kira-kira 1,100 kilometer ke barat Perth, Australia berdasarkan nasihat terkini kumpulan penyiasat antarabangsa.

Sumber 1-M-N


Lemahnya koordinasi di kalangan negara-negara yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 telah menyebabkan pihak terlibat tersilap mencari di kawasan yang salah di Lautan Hindi, lapor akhbar Wall Street Journal (WSJ).

Lapor WSJ, ini terjadi berikutan kumpulan penyiasat dan pakar-pakar antarabangsa telah menjalankan siasatan secara berasingan untuk mengesan lokasi di mana pesawat berkemungkinan jatuh.

WSJ yang memetik dua sumber yang dikatakan ada kaitan dengan operasi pencarian berkata, kegagalan koordinasi mengambil tindakan pantas, menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan kaedah penyampaian maklumat kepada negara-negara terbabit.

Sedang sebuah pasukan menganggarkan kelajuan dan jumlah minyak yang digunakan oleh pesawat berdasarkan data radar dan prestasi pesawat, pasukan yang lain mengambil masa berhari-hari untuk meneliti data satelit, kata sumber itu.

Lokasi pencarian akhirnya diubah pada Jumaat lalu hanya selepas pihak berkuasa mengaitkan dua hasil siasatan terbabit.

“Hasil siasatan mendapat maklumat yang kredibel mengenai laluan dan lokasi pesawat berkemungkinan terhempas di perairan Australia,” kata Ketua Pesuruhjaya Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan kepada WSJ.

Sumber juga mengatakan pencarian adalah ‘satu proses mengambil masa dan pegawai penyiasat telahpun berkongsi maklumat dengan negara-negara terlibat’.

“Namun pihak berkuasa Malaysia tidak merasakan adalah peranannya untuk memastikan pakar-pakar antarabangsa ini berkongsi maklumat sesama mereka,” satu sumber memaklumkan kepada WSJ.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama .

Sumber 1-M-N

Teori yang mengatakan pesawat MH370 berkemungkinan dirampas pihak tertentu sebelum pesawat tersebut dilaporkan berakhir di Lautan Hindi, masih boleh diterima dan tidak boleh ditolak begitu sahaja.

Walau bagaimanapun, persoalan utama ialah siapa individu yang merampas pesawat tersebut dan tanda tanya itu sukar untuk dikupas.

Menurut sumber, arah tuju pesawat yang menghala ke Lautan Hindi itu sendiri telah menunjukkan pesawat itu dirampas dan bukan akibat masalah pada pesawat ataupun dikawal dari jarak jauh.

“Pesawat itu menuju ke Lautan Hindi iaitu lautan yang amat sunyi dan sudah tentu ia menuju ke suatu tempat yang tidak diketahui.

“Saya percaya ia melibatkan rampasan tetapi yang menjadi persoalan ialah siapa yang merampas pesawat itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau juga menolak teori mengatakan bahawa juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid bertanggungjawab dalam rampasan pesawat itu.

Namun katanya, teori yang diperkatakan itu tidak boleh didedahkan secara terperinci kerana ia akan mencampuradukkan isu membabitkan antara negara.

“Saya tidak boleh komen lebih lanjut kerana ia akan menyentuh isu antara negara selain jika benar teori ini benar akan menjadi teori konspirasi berprofil tinggi,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi berdasarkan kepada siasatan syarikat satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch (AAIB) di Britain.

Timbul pelbagai andaian berikutan pesawat tersebut melencong jauh daripada laluan asal sehingga ke Lautan Hindi yang disifatkan tempat paling sunyi di dunia.

Sebelum ini, isu rampasan pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal dibangkitkan pada hari kedua kehilangan pesawat MH370, selain turut dikaitkan dengan penggunaan pasport palsu oleh dua orang warga asing yang menaiki pesawat tersebut.

Sehingga kini, polis masih belum menolak andaian pesawat tersebut dirampas dan turut menyiasat tiga elemen lain yang berkemungkinan motif kejadian iaitu sabotaj, masalah peribadi serta masalah psikologi membabitkan semua individu yang menaiki pesawat itu.